KAMI HANYA PENGAGUM CIPTA-MU

Pengagum Cipta-Mu

Tuhan,
Jadikan kami pengagum karya cipta-Mu.
Pada warna alam-Mu nan bercorak
Terbias pada awan nan berombak
Dari nur milik-Mu nan terserak
Di riak tasik nan tenang
di luas langit-Mu yang tidak bertiang
Sesudah tersingkapnya kelambu siang.

Tuhan,
Kami hanya pengagum cipta karya-Mu
Bukan pengagum pada warna
cipta hamba-Mu nan riak,
Terkasta pada rupa, pangkat
dan harta nan membuak.
Bimbang tersilau suluh nikmat nan banyak
Nanti di balik termakbul segala kehendak,
Engkau menguji kami dengan “istidraj”.

Al-Kurauwi
Tasik Ampang Hilir
11 Februari 2015

DI LAMAN KENANGAN NENDA

Laman Kenangan Nenda

Di laman kenangan nenda
Hijau sawah nan memukau,
Tanah pamah nan berkah,
Sedikit hasil tidak diungkit,
Hidup makmur, penuh syukur.

Di laman kenangan nenda,
Air tidak kering saat padi menguning,
Parit sehasta di hadapan mata.
Tempat berkubang di alur sempit
Tempat perut pelepas sakit.
Puyu, keli, sepat tumpang menggigit

Di laman kenangan nenda,
Biru langit nan menggamit,
Angin malam nan dingin.
Teringat-ingat pesan nenda;
Hidup biar berpada-pada
Namun amal biar berganda.

al-Kurauwi
Taman Keramat Permai
30 Januari 2015

DEGUP JANTUNG DI KELARAI NYAWA

Kelarai Kehidupan

Pada degup jantung dan gerak nadi,
ada relung kehidupan yang kita lalui.
Di relung hidup itu
kitalah yang mencipta sendiri kelarai nyawa;
Memilih benang, tekat dan warnanya.
Sungguh, pada lewat degup jantung,
kita sudah memilih kelarainya
dan bagaimana sudah simpul matinya.

21 Januari 2015

Alhamdulillah Tuhan memanjangkan lagi serelung nyawa. Tidak lupa, terima kasih atas ucapan teristimewa, sahabat-sahabat pembaca blog atas ucapan kenangan kelahiran 41 tahun yang lalu.

Pada darah yang tumpah, pada nyawa di ambang sakarat, masakan terlupa bakti jasa dan pengorbanan bonda. – Ibnu Ahmad al-Kurauwi

BELACAK DI TEPIAN BECAK

Belacak

Kata Guru,
Jadilah seekor belacak di tepian becak,
Hidup bukan pada rupa tampak,
Tubuh tidak berlumpur di tanah yang lecak,
Nyawa tidak lemas di alur air yang berkocak.

Kata Guru,
Jadilah seekor belacak di tepian becak.
Hidup bukan menurut pada pasang surut,
Bukan bersembunyi di celah tunggul atau di bawah rumput,
Nikmat hidup pada memberi,
Biar mati sesudah berbakti,
Hatta dirawai umpan si ikan pari.

Al-Kurauwi
SMA al-Wosto, Temerloh
Pahang Darul Makmur
15 Januari 2015

DI MADRASAH HUJAN

Hujan

Di Madrasah Hujan

Di madrasah hujan,
Saat guruh dan kilat membelah awan,
Hujan pun membasahi iman
Tidak tersukat pada deru waktu
Tidak tertolok pada titis kalbu.

Di madrasah hujan
Saat kelam langit melumpurkan tangan,
Hujan pun membasahkan amarah
Air dan tanah teramu, bersatu
menghilangkan najis mughallazah.

Al-Kurauwi
21 Oktober 2014
Keramat Permai

DIKIR PETANDA DI HUJUNG NYAWA

 

Dikir Petanda di Hujung Nyawa

Dewan Sastera Bil. 8 2014DIKIR Petanda di Hujung Usia, mengetuk jendela Dewan Sastera Bil. 8 2014 dalam ruangan Ujana Klasik setelah sekian lama dingin tanpa sebarang karya. Semoga karya ini terus mengetuk jendela menulis dan memberi semangat untuk terus berkarya. Biarpun dalam tulisan Jawi, moga dikir ini memberi pengajaran yang bermanfaat kepada diri sendiri dan sekalian pembaca. – al-Kurauwi

KENANGAN RAMADAN

Kenangan Ramadan

MENGHITUNG HARI-HARI TERAKHIR RAMADAN yang semakin menyusut, hati tiba-tiba sebak. Sebak yang bukan sedikit. Sebak yang sungguh-sungguh. Semalam, ketika bersama-sama jemaah menanti waktu berbuka di surau, hati terkenangkan sosok-sosok tubuh Jemaah yang sudah dijemput pulang ke rahmat Ilahi. Hati terkenang-kenang dan mulut pun menyebut-nyebut nama arwah sekian dan arwah sekian sambil menyuap hidangan sepinggan nasi. Mujur menu masak lemak daging salai agak sedikit pedas mampu menyembunyikan mata yang semakin kembang dengan tangisan.

Usai sedikit tahlil dan doa selamat, mulut pun menyebut-nyebut segala kenangan dan kebaikan mereka ketika sama-sama memakmurkan surau di tengah taman. Kelibat mereka bagai ternampak-nampak di antara sela tiang agam yang memasak bumbung. Sujud dan rukuk mereka bagai terpandang-pandang pada hijau baris-baris saf. Kerusi yang menopang tubuh uzur mereka dahulu, kini sudah bertukar penghuni. Tuhan, dalam setiap doa pada khatimah solat, tidak pernah terlepas sebaris ingatan akan wajah-wajah mereka biarpun nama mereka ada yang sudah luput tidak lagi terpahat.

Di penghujung Ramadan ini, terima kasih Tuhan kerana menyuntik kenangan yang menginsafkan betapa kematian itu suatu yang pasti. Betapa Ramadan itu pasti pergi, dan kematian itu tidak terkecuali. – al-Kurauwi

PERAKAM ALAM

  Perakam

Tuhanku, kami hanyalah perakam alam;
Dek kagum hijau sawah,
kuning air nan mewah,
Biru gunung sejantung,
lembah subur buat pemakmur.

Tuhanku, kami hanyalah pengagum;
Sekadar yang terakam oleh mata,
Tertangkap akan telinga,
Dek pesona indera yang jatuh ke sukma.
Benarlah titip sekalian pendeta bahawa
Segala yang indah tercipta,
hanyalah perhiasan dunia sementara.
Al-Kurauwi
Sedaka, Kedah.
6 Jun 2014

 

MANIS YANG KE-7

Buku kaedah belajar jawi-4(1)

SYUKUR sesudah buku yang pertama terbit, “Tinta Elipsis”, semangat menulis tidak pernah putus hingga muncul pula buku kedua novel “Insyirah”. Buku ketiga “Punya Cinta Ramadan” masih dalam penulisan genre yang sama iaitu genre novel dan kemudiannya terbit buku keempat “Namaku Bukan Maria”. Buku yang kelima ialah sebuah buku yang mengumpulkan koleksi cerpen iaitu “Di Dadanya Kalam Tuhan”. Akhirnya muncul pula buku keenam, “Penenun Cinta”. Namun buku keenam ini biarpun siap awal dan memenangi hadiah sayembara namun masih diusahakan penerbitannya.

Buku yang ketujuh ini ialah sebuah buku yang berbeza langsung genre berbanding buku terdahulu. Ia sebuah buku ilmiah yang lahir daripada rahim kerjaya yang berkait rapat dengan tugasan utama di Dewan Bahasa dan Pustaka. Idea buku “Kaedah Pembelajaran Jawi” disuarakan sendiri oleh YBhg Dato’ Raslin bin Abu Bakar, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia. Buku ini dihasilkan menerusi kerjasama pintar antara Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) dan Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 2 Jun 2012 menerusi Rancangan Klinik Jawi di Radio IKIMfm.

kaedah Pembelajaran Jawi

Program ini (ketika artikel ini ditulis, ia masih bersiaran) telah bersiaran pada setiap hari Sabtu, jam 10.00 pagi dengan dibantu oleh rakan belajar Dj Suffian bin Amrin, penyampai radio IKIMfm sendiri. Siaran ulangannya pula pada setiap hari Ahad jam 10.00 malam.

Dalam tempoh yang terhad antara 15-30 minit bersiaran ke udara, buku ini menghimpunkan nota-nota pembelajaran Klinik Jawi Peringkat Asas yang dimuat naik ke laman sesawang PNM sebagai panduan kepada para pendengar radio. Buku ini ditulis dalam dua versi tulisan iaitu Jawi dan rumi. Bagi tuan puan dan sahabat-sahabat yang berminat untuk mendapatkan buku ini boleh dapatkan terus dari Perpustakaan Negara Malaysia atau dengan menghubungi saya melalui e-mel azman_a@dbp.gov.my dengan harga RM30 (tidak termasuk harga pos). Selamat membaca! – al-Kurauwi

 

 

ADEGAN BERAHI PANCING PEMBACA?

Adegan Berahi

Isu: “Benarkah novel popular menggunakan formula tema cinta keterlaluan dengan unsur berahi dan elemen seks untuk menarik pembaca?” Apa pula pandangan ustaz mengenainya daripada sudut Islam, adakah ia bertentangan dengan syariat dan bagaimana ia boleh mempengaruhi pembaca,”

1) Boleh Ustaz ulas secara ringkas dan padat mengenai isu yang dikemukakan di atas?

Isu novel yang menggunakan formula tema cinta keterlaluan dengan unsur berahi dan elemen seks untuk menarik pembaca bukanlah isu baharu. Seingat saya, pernah diterbitkan novel-novel bersiri oleh Syarikat Amir Enterprise, “Siri Kisah Cinta” 1970-an dan Novel Mona Gersang yang cukup popular awal 80-an dulu.

Bagi saya, novel yang menggunakan formula tema cinta keterlaluan dengan unsur berahi dan elemen seks ialah novel erotik atau picisan. Mungkin, tidak semua novel yang popular itu erotik. Cuma novel yang menggunakan pendekatan seks sama ada popular atau erotik kedua-duanya bertentangan dengan syariat dan boleh mempengaruhi pembaca.

2) Ada sesetengah pihak menganggap elemen cinta terutama babak romantik antara pasangan bercinta atau suami isteri dalam novel cinta semasa semakin keterlaluan dan tidak sesuai serta boleh mendorong pembaca terutama golongan muda @ remaja yang secara tak langsung ingin mencuba, sekali gus terjerumus dalam gejala sosial. Apa pandangan ustaz?

Saya bersetuju bahawa ada sesetengah penulis sengaja memasukkan elemen cinta, sama ada cinta halal atau cinta terlarang dan ada kalanya digambarkan berlebih-lebihan. Biarpun wataknya suami isteri, babak-babak romantik dengan sengaja disuntik sebagai pelaris. Novel seperti ini sama ada popular atau tidak, sudah pastilah membangkitkan ghairah dan melekakan. Kadang-kadang untuk mewajarkan ‘kebaikan’nya, satu dua bab terakhir digambarkan watak ini bertaubat dan menyesali dosa terlampau mereka. Novel seperti ini akhirnya mendorong pembaca terutamanya remaja membuat tanggapan bahawa berdosa-dosa dahulu, apabila sudah tua baru bartaubat!

3) Boleh Ustaz terangkan tanggungjawab penulis dalam menghasilkan karya, bukan saja memberi hiburan dan ilmu kepada pembaca tetapi juga membawa kisah yang tinggi nilai moral sekali gus membawa pembaca ke jalan yang benar.

Penulis ialah pencatat, catatannya dibaca orang. Segala apa yang dicatatkan akan dipertanggungjawabkan.

Penulis ialah pencatat, catatannya dibaca orang. Segala apa yang dicatatkan akan dipertanggungjawabkan. Oleh sebab itu, Tuhan menugaskan malaikat Raqib dan Atid sebagai pencatat. Sebagai penulis, tulislah yang baik-baik agar kesannya sampai kepada pembaca juga baik-baik. Dengan itu, malaikat akan mencatat yang baik-baik untuk kita. Catatan yang buruk akan dibalas buruk malah akan diperlihatkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Teruskan membaca